SEJARAH KAMPUNG SEMENTA
🇲🇾SEJARAH KAMPUNG SEMENTA🇲🇾
🔎Kampung Sementa adalah sebuah kampung yang diterokai oleh kaum nelayan yang berasal dari Melaka, Kelantan, Singapura, Perak dan Kepulauan Tanah Jawa. Peneroka-peneroka ini telah bertapak diatas tanah lot no.1387 iaitu di Hulu Sungai Sementa pada tahun 1860. Encik Abdul Rahman Bin Donek seorang penduduk yang tertua di kampung ini (telah meninggal dunia) telah menceritakan, bermula dari penerokaan tersebut jumlah penduduk telah bertambah. Dalam tahun 1880, dari jumlah yang kecil iaitu 6 keluarga telah semakin bertambah menjadi hampir 100 keluarga. Mereka ini telah berusaha meneroka hutan rimba. Diatas usaha dan kerajinan, mereka telah memiliki tanah tersebut.
🔎Sebelum penerokaan kampung ini, ia dikenali dengan nama Vallambrossa bersempena dengan nama Vallambrossa Estate yang terletak di Batu 6, Jalan Kapar Klang. Tetapi apabila nelayan-nelayan yang meneroka kampung ini telah menggunakan sungai sebagai perhentian sementara mereka untuk meneruskan perjalanan penerokaan. Lama kelamaan nama sungai perhentian sementara itu telah ditukar dengan nama Sungai Sementa, kerana peneroka-peneroka yang datang, sudah tidak menjadikan sungai tersebut sebagai "perhentian sementara" bahkan mereka telah menetap di kampung ini, dan pihak kerajaan pada masa itu telah merestui kampung tersebut dinamakan Kampung Sementa.
🔎Pada tahun 1890 hingga tahun 1900, Kampung Sementa telah didatangi oleh orang ramai dari kawasan-kawasan berhampiran seperti Kampung Kuala Klang dan Pulau Carey dengan tujuan untuk meneroka hutan-hutan di kampung ini.
🔎Datuk Haji Omar seorang keturunan Indonesia telah mengetuai satu kumpulan peneroka-peneroka yang datang dari Singapura - telah membuka kampung disebelah kiri jalan dari arah pekan Klang menuju ke Kapar yang mana ianya adalah permulaan bagi Kampung Sementa hari ini dan ianya juga merupakan sempadan bagi Kampung Batu 4 dan Kampung Batu 7. Oleh kerana majoriti penduduknya adalah terdiri dari keturunan jawa, maka pada tahun 1885 seorang ketua kampung dari keturunan Jawa telah dilantik untuk menjadi ketua Kampung Sementa yang pertama.
🔎Dan pada hari ini, Sungai Sementa hanya tinggal nama sahaja kerana telah dimajukan menjadi taman-taman perumahan dimana disitulah wujudnya Taman Klang Perdana, Taman Seri Sementa dan Taman Sementa Utama, selain dari taman perumahan, taman rekreasi juga telah dibina bagi kemudahan riadah penduduk kampung ini khasnya dan pengunjung luar amnya. Dan terkini sebuah kompleks belia telah pun siap pembinaannya dikawasan tersebut.
#anakjatikampungsementa
#disember2k17
Comments
Post a Comment